KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dilantik sebagai penaung bagi Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS).
Presiden PKWPS, Dr. Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad berkata pihaknya amat gembira dengan persetujuan Premier Sarawak untuk memegang peranan tersebut.
“Kami amat gembira apabila Yang Amat Berhormat Premier Sarawak bersetuju untuk menjadi penaung kepada pertubuhan kami. Ini merupakan satu berita yang menggembirakan untuk dikongsikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, antara objektif utama penubuhan PKWPS adalah untuk memelihara salasilah keturunan Pengiran di Sarawak melalui pelaksanaan kajian bersama pihak berkepentingan.
Katanya, usaha tersebut termasuk membukukan sejarah perkembangan golongan Pengiran di Sarawak dengan kerjasama beberapa institusi berwibawa.
“Kajian ini akan melibatkan kerjasama dengan beberapa institusi seperti Universiti Brunei, Persatuan Sejarah Brunei, Pusat Sejarah Brunei serta institusi di Sarawak bagi memastikan kajian salasilah dan peranan Pengiran sepanjang kewujudan Sarawak dapat didokumentasikan dengan baik,” jelasnya.
Tambah beliau, kunjungan tersebut turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu PKWPS bagi sesi Januari 2026 hingga Disember 2027.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini