Sarawak Pengeluar Minyak Sawit Terbesar Di Malaysia, Terus Perkukuh Industri Hiliran
KUCHING: Sarawak kini telah mengatasi Sabah sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini.
Pencapaian ini terus diperkukuhkan dengan industri minyak sawit negeri melalui pembangunan sektor hiliran yang berimpak tinggi, termasuk inisiatif 'waste to energy'.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah seterusnya adalah memastikan hasil sawit diproses secara hiliran bagi menghasilkan produk nilai tambah seperti biojisim, biominyak, baja serta makanan ternakan.
"Kita kini mungkin merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di mana telah mengatasi Sabah maka kita tidak seharusnya hanya mengeksport minyak kelapa sawit sahaja.
"Sebaliknya, kita mesti melibatkan diri dalam aktiviti hiliran yang lebih luas berkaitan industri sawit kerana saya sudah mencuba dengan SALCRA di Lubok Antu dua tahun lepas di mana kita memecahkan biji sawit bagi menghasilkan biojisim serta biofuel.
"Bahagian biojisim ini pula boleh digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan. Makanan ternakan ini bermaksud kita boleh menternak haiwan tanpa menggunakan kaedah ragut terbuka, tetapi menggunakan sistem feedlot.
"Dengan kata lain, di ladang kelapa sawit kita, atau ladang kecil milik pekebun tanah adat bumiputera (NCR) sekalipun, mereka boleh menanam sawit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS) di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak turut menekankan potensi Sarawak dalam menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), biogas dan hidrogen daripada biofuel, selaras dengan agenda tenaga bersih dan mampan negeri.
Hal ini terutamanya terus memfokuskan kepada merealisasikan konsep ‘waste to energy’.
"Saya pernah sebutkan di Kuala Lumpur semasa forum ASEAN bahawa pendekatan Sarawak kini adalah terhadap sisa bukan untuk membazirkan sisa tetapi memanfaatkan sisa tersebut dan inilah pendekatan kita dalam industri minyak sawit," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Presiden Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng, Presiden ACCCIS Kong Chiong Ung, Naib Presiden ACCCIS Dato Tan Jit Kee serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS