Jangan Abaikan Adat Dan Agama Dalam Arus Kemodenan
LUNDU: Masyarakat diingatkan agar tidak melupakan adat resam dan agama yang menjadi tunjang kepada pembentukan nilai-nilai murni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, dalam kesibukan generasi muda menimba ilmu, warisan budaya dan adat perlu terus dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman.
“Kita akan terus menyokong dan membantu apa jua usaha untuk memperkasakan kebudayaan kita, khususnya budaya masyarakat Salako Rara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Gawai Dayak 2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Name di Dewan Kasol, Kampung Rukam pada Khamis.
Dalam majlis sama, beliau turut menyeru para pelajar agar tidak gentar untuk mendalami bidang Sains walaupun mata pelajaran itu sering dianggap mencabar.
“Anak-anak muda perlu diberi galakan untuk menguasai Sains kerana bidang ini penting untuk masa depan dan pembangunan negara,” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti sambutan Hari Gawai Dayak tersebut.-EDISI UKAS