BINTULU: Golongan belia merupakan aset yang berharga kepada negara dan wajar diberi perhatian agar dapat dibawa bersama di dalam proses pembangunan secara holistik.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat berkata ia akan mewujudkan suasana aman, harmoni serta belia yang bersemangat cintakan negara.
Katanya, dengan penganjuran Sambutan Hari Belia pada tahun ini, ia dapat menaikkan lagi semangat kecintaan dan patriotisme kepada golongan belia untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan seterusnya negara.
“Pada kali ini Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak diadakan di Bintulu ini dengan bertemakan ‘Yakin Boleh’.
“Tema ini mengingatkan kita betapa berharganya masa muda dan masa ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Kerana inilah masanya golongan belia untuk tampil ke hadapan bagi menyahut dan mengambil semua peluang yang disediakan selari dengan konsep ‘Daripada Belia Untuk Belia’.
“Tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini turut sama berganding bahu membangunkan negara walau dalam apa jua keadaan yang melanda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu baru-baru ini.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif pembangunan belia dan sukan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk menghargai dan menyerlahkan potensi golongan belia.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak beserta agensi-agensi yang lain sentiasa berganding bahu dalam menyediakan program dan aktiviti khusus kepada golongan belia bagi memantapkan kualiti belia Malaysia daripada pelbagai aspek melalui program-program sukan, belia dan rakan muda yang dilaksanakan secara berterusan.
Pada program tersebut turut diumumkan Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada individu serta pertubuhan belia yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan belia di negeri ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, ADUN Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pengarah UPM Kampus Bintulu Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini dan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia Richard Barahim. – EDISI UKAS