SERIAN: Nasi ambeng bukan sekadar makanan, sebaliknya menjadi simbol budaya dan jati diri masyarakat Jawa yang menjunjung nilai kebersamaan dan perpaduan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, tradisi seperti ini selari dengan usaha kerajaan memperkukuh jati diri bangsa dan memelihara keharmonian antara kaum yang menjadi asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“Apabila kita duduk semeja, makan dari dulang yang sama, tidak ada yang lebih tinggi atau rendah kerana semuanya seakan bersaudara. Inilah kekuatan budaya kita,” katanya demikian dalam Majlis Makan Nasi Ambeng 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Bandung di sini pada Sabtu.
Dalam konteks Sarawak, beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik negeri ini telah menjadi pemangkin kepada pelaburan besar serta pembangunan pesat, termasuk dalam bidang pendidikan dan peluang pekerjaan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang SPM 2024 dari Kampung Sungai Bandungsebagai dorongan untuk terus mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha komuniti, beliau turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM10,000kepada Persatuan Masyarakat Jawa Sarawak bagi memperkasa pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan. -EDISI UKAS