Premier Sarawak Ketuai Perarakan 'Niti Daun' Sempena Sambutan Hari Gawai 2026
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai acara perarakan 'Niti Daun' Sempena Sambutan Hari Gawai 2026 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching, pada Sabtu.
Mengiringi beliau ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain.
Terdahulu, semua dif kehormat menghadiri upacara tradisi miring yang diadakan di Bangunan Tun Jugah sebagai sebahagian daripada adat dan ritual masyarakat Iban sempena sambutan Hari Gawai.
Upacara tersebut melibatkan tiga set persembahan yang disusun dalam kumpulan lapan terdiri daripada teping, pulut, telur, tembakau, rendai dan sungki yang disediakan mengikut adat tradisi masyarakat Iban.
Menerusi upacara itu, doa dipanjatkan bagi memohon kesejahteraan, keharmonian serta kemakmuran berterusan untuk Sarawak dan seluruh rakyatnya.
Sebaik tiba di bangunan tersebut, Premier Sarawak terus menyempurnakan perasmian Sambutan Gawai Dayak 2026 dengan memukul gong secara simbolik sebagai tanda pelepasan perarakan Niti Daun.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer dari Bangunan Tun Jugah menuju ke Tebingan Sungai Kuching berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung yang memenuhi laluan perarakan, sekali gus menampilkan keunikan adat, budaya dan kepelbagaian etnik yang menjadi kekuatan Sarawak.
Ketibaan kontinjen di tapak utama sambutan disusuli dengan perarakan masuk 114 kontinjen yang mewakili pelbagai masyarakat, pertubuhan, agensi dan organisasi Dayak dari seluruh Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadli