KUCHING: Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 pada kali ini berjaya menghimpunkan 114 kontinjen yang menampilkan kepelbagaian budaya, tradisi dan identiti masyarakat Dayak dari seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan komitmen berterusan masyarakat Dayak dalam memelihara warisan budaya sambil memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Tahun ini kita menyaksikan penyertaan 114 kontinjen yang terdiri daripada 15 pelampung dan 99 pasukan perarakan. Apa yang paling mengagumkan ialah kemunculan beberapa kumpulan etnik yang jarang kita lihat tampil dalam acara berskala besar seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perarakan Niti Daun Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan beberapa kumpulan etnik yang jarang diketengahkan sebelum ini termasuk komuniti Remun dan Tagal, sekali gus memperkayakan pameran budaya yang dipertontonkan kepada orang ramai.
Penyertaan pelbagai persatuan dan komuniti etnik Dayak dari seluruh negeri juga membuktikan kesungguhan mereka dalam memartabatkan budaya serta tradisi yang diwarisi turun-temurun agar terus relevan dan dikenali generasi akan datang.
Beliau berkata perarakan tersebut bukan sekadar platform mempamerkan warisan budaya, malah menjadi medium penting untuk memperkenalkan kepelbagaian identiti masyarakat Dayak kepada rakyat Malaysia dan pelancong yang hadir menyaksikan sambutan berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas menyifatkan kejayaan penganjuran Perarakan Niti Daun sebagai manifestasi semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Dayak yang terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang.
Katanya, peserta yang datang dari pelbagai bahagian termasuk Lawas, Miri dan kawasan pedalaman sanggup meluangkan masa serta menempuh perjalanan jauh demi menjayakan acara tersebut dan mempersembahkan keunikan budaya komuniti masing-masing.
“Inilah sumbangan masyarakat Dayak kepada perpaduan dan keharmonian negara. Kita menunjukkan bahawa walaupun terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya, kita mampu bersatu hati serta bekerjasama dalam menjayakan program yang memberi makna besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berharap masyarakat terus menghargai peranan komuniti Dayak dalam memperkukuh perpaduan nasional menerusi pemeliharaan warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti unik Malaysia.
Perarakan Niti Daun merupakan antara acara kemuncak Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang menghimpunkan pelbagai persembahan kebudayaan, pakaian tradisional, seni persembahan dan simbol warisan masyarakat Dayak dari seluruh negeri. -EDISI UKAS