UKAS Sertai HAWANA 2026, Datu Hii Ketuai Delegasi Sarawak
BUTTERWORTH: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh hubungan strategik dengan pengamal media negara menerusi penyertaan dalam sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini pada Sabtu.
Delegasi Sarawak ke HAWANA 2026 diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai kanan UKAS.
HAWANA 2026 yang memasuki edisi keenam tahun ini menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi platform utama bagi memperkukuh jaringan profesional, bertukar pandangan mengenai perkembangan industri media serta membincangkan cabaran dan hala tuju kewartawanan dalam era digital yang semakin dinamik.
Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, sambutan kali ini menekankan kepentingan integriti, etika dan profesionalisme dalam memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap media sebagai institusi penyampai maklumat yang berwibawa dan dipercayai.
Majlis kemuncak HAWANA 2026 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyertaan UKAS dalam program kewartawanan terbesar negara ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama dengan organisasi media, selain menyokong pembangunan ekosistem komunikasi awam dan kewartawanan yang profesional, berintegriti serta relevan dengan keperluan semasa.-EDISI UKAS