60 Penerima Terima Geran MRP RM439,000, 78 Pelajar Sebuyau Terima Insentif Pendidikan
SEBUYAU: Seramai 60 penerima menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM439,000, manakala 78 pelajar menerima Insentif Pendidikan Daerah Sebuyau berjumlah RM21,600 dalam Majlis Penyampaian Geran MRP yang diadakan pada Sabtu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, bantuan yang disalurkan itu bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti serta keperluan pengurusan persatuan, pertubuhan dan jawatankuasa kampung di kawasan Sebuyau.
Menurut beliau, insentif pendidikan yang diberikan kepada para pelajar pula diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meringankan beban kewangan serta menjadi pemangkin semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Pelajar juga digalakkan untuk mendaftar di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak bagi merebut peluang pendidikan berkualiti yang disediakan di peringkat negeri,” katanya.
Terdahulu, beliau telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran MRP yang menyaksikan sebanyak 60 geran disampaikan kepada persatuan, pertubuhan dan jawatankuasa kampung di sekitar kawasan Sebuyau.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Sebuyau Louis Andria Barieng dan Penghulu Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Abu Seman Suhaili.- EDISI UKAS