Tradisi Makan Tahun Kampung Bulau Eratkan Silaturahim dan Warisan Kedayan
BEKENU: Tradisi tahunan Makan Tahun yang diadakan di Kampung Bulau terus menjadi wadah penyatuan komuniti setempat apabila hampir 100 penduduk hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Bulau, pada Ahad.
Acara anjuran Jawatankuasa Kampung Bulau itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus sebagai tanda sokongan kepada usaha komuniti dalam melestarikan adat dan tradisi masyarakat Melayu Kedayan.
Antara sajian yang menjadi tarikan utama setiap kali majlis berlangsung ialah kelupis, juadah tradisional masyarakat Kedayan yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung sehari sebelum acara kemuncak.
Majlis Makan Tahun bukan sahaja menjadi platform meraikan hasil tuaian dan kesyukuran, malah berperanan penting memperkukuh jalinan silaturahim antara penduduk pelbagai lapisan umur.-EDISI UKAS