Karnival Usahawan Bahagian Kapit 2025 Julung Kali Dilangsungkan, Fokus Perkasa PMKS Bumiputera
KAPIT: Buat julung kalinya, Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Kapit dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak telah menganjurkan Karnival Usahawan Bahagian Kapit 2025, yang berlangsung meriah di Town Square, Kapit pada Ahad.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, yang hadir sebagai wakil rasmi kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Datuk Dr Malcolm Mussen dalam ucapan perasmiannya menjelaskan bahawa sejak tahun 2021 hingga 2025, MINTRED telah menyalurkan RM204 juta untuk manfaat lebih 41,800 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Sarawak, termasuk RM4.2 juta kepada 254 usahawan di Kapit sahaja.
Antara program bantuan keusahawanan yang ditawarkan termasuk GERAK & USTEV (geran sehingga RM20,000), Go Digital (geran sehingga RM10,000), serta inisiatif pembangunan kapasiti dan promosi.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa MINTRED akan menganjurkan program pendaftaran perniagaan dan pensijilan makanan di Kapit pada Ogos 2025.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kemajuan infrastruktur seperti Taman Perindustrian Kapit yang telah siap dibangunkan di kawasan seluas 19 hektar serta kemudahan Anjung Usahawan Song yang kini di peringkat pra-pelaksanaan.
Beliau menyatakan harapan agar usahawan Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mabong akan merebut peluang daripada pelbagai program keusahawanan kerajaan dan meluaskan pasaran produk mereka ke luar Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit,Timbalan Residen, Robert Liman Delibserta beberapa pegawai kanan kerajaan dan pemimpin tempatan.-EDISI UKAS