Gerempong Staf Dayak SMK Kanowit Anjur Majlis Ngiling Bidai Di Sibu
SIBU: Majlis Ngiling Bidai anjuran Gerempong Staf Dayak SMK Kanowit di sebuah restoran di Sibu baru-baru ini meriah dengan kehadiran lebih 100 orang tetamu, termasuk beberapa kenamaan dan pemimpin pendidikan setempat.
Majlis tradisi kaum Dayak itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan majlis yang bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, tetapi juga sebagai usaha penting dalam mengekalkan warisan budaya masyarakat Dayak.
“Persatuan Dayak seperti Gerempong Staf Dayak SMK Kanowit wajar disokong dalam menganjurkan program sebegini.
“Ia bukan sahaja memelihara budaya, tetapi turut menyemai rasa bangga terhadap identiti masyarakat Dayak,” ujar beliau.
Beliau turut menyarankan agar lebih banyak program kebudayaan seperti pentas seni, bengkel kraftangan, latihan tarian tradisional serta lawatan sambil belajar dilaksanakan untuk menarik minat generasi muda mengenali dan mencintai budaya sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM7,000 kepada Gerempong Staf Dayak SMK Kanowit bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan mereka.
Majlis turut menyaksikan ucapan penghargaan daripada beliau kepada SMK Kanowit yang telah menunjukkan peningkatan dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seramai 63 pelajar mencapai sekurang-kurangnya 3A bagi tahun 2023, manakala 58 pelajar mencatat pencapaian sama bagi tahun 2024.
Pelajar cemerlang ini bakal menerima insentif akademik daripada Pusat Khidmat ADUN Ngemah.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengetua SMK Kanowit Jarit Jarmit, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kanowit (Sektor Perancangan) Joseph Jabu, Timbalan PPD (Sektor Pembangunan Murid) Tius Sigi serta Yang Dipertua PIBG SMK Kanowit Brendan Ulok.-EDISI UKAS