BAKUN: Penubuhan Bakun Community Management Steering Committee (BCMSC) dilihat mampu menjadi platform inklusif yang mewakili suara komuniti sekitar Daerah Belaga, khususnya yang terlibat secara langsung dengan Empangan Bakun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut akan membuka ruang kerjasama pelbagai pihak untuk memperkasakan kesejahteraan komuniti luar bandar secara menyeluruh.
Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada perbincangan awal mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan BCMSC agar berfungsi secara sistematik, telus dan berimpak tinggi kepada penduduk setempat.
“Kita turut mengambil peluang mendengar secara terus permohonan dan pandangan daripada persatuan-persatuan yang hadir, yang mewakili keperluan komuniti di seluruh Daerah Belaga,” katanya.
Beliau menjelas demikian selepas menghadiri Mesyuarat BCMSC 2025 yang membincangkan halatuju dan objektif utama penubuhan jawatankuasa berkenaan bertempat di Empangan Bakun baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Chukpai memberitahu kolaborasi berterusan antara agensi kerajaan, swasta dan wakil masyarakat amat penting bagi memastikan suara komuniti didengari serta dilibatkan dalam setiap perancangan pembangunan.
“Semoga BCMSC menjadi platform penyatuan dan perkongsian strategik antara semua pihak demi manfaat jangka panjang komuniti sekitar Bakun,” ujarnya.