28 KMKK DUN Lambir Terima Sijil Pelanjutan dan Pelantikan Baharu
MIRI: Seramai 28 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir menerima sijil pelanjutan dan pelantikan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Subis, pada Selasa.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Daripada jumlah tersebut, Ketua Masyarakat, Kadir Ya’akub menerima sijil pelanjutan perkhidmatan, manakala pelantikan baharu Ketua Kaum melibatkan Jefferi Maidin yang menggantikan penyandang terdahulu di Kampung Danau.
Selebihnya merupakan 26 Ketua Kaum sedia ada yang menerima pelanjutan perkhidmatan masing-masing.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Ripin menzahirkan penghargaan kepada para pemimpin akar umbi atas komitmen mereka dan menyatakan keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk terus memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri.
Beliau turut menekankan pentingnya peranan KMKK sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, terutama dalam aspek penyampaian maklumat serta pelaksanaan program pembangunan di peringkat komuniti.
“Sebagai wakil kerajaan di peringkat akar umbi, KMKK harus sentiasa adil, amanah dan menjadi teladan kepada komuniti. Mereka juga perlu mendukung semangat perpaduan serta kesejahteraan rakyat pelbagai kaum,” tegas beliau.
Turut hadir Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis; Penghulu Hasan Lajim serta Penghulu Mokeng Tambom.-EDISI UKAS