Pameran & Mini Jualan Perkasa Usahawan Tempatan di Kampung Ensengai Melayu
GEDONG: Usaha memperkasakan komuniti usahawan luar bandar terus digiatkan menerusi penganjuran Program Pameran dan Mini Jualan anjuran Persatuan Usahawan Kampung Ensengai Melayu di pekarangan Masjid Nurul Huda, Kampung Ensengai Melayu, pada Ahad.
Program tersebut bertujuan menyediakan platform promosi kepada produk dan perkhidmatan tempatan, di samping menyemai kesedaran terhadap potensi bidang keusahawanan serta memperkukuh jaringan hubungan antara usahawan dan pengunjung.
Selain menjadi wadah pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan peserta, program ini turut menyemarakkan semangat keusahawanan dalam komuniti.
Hadir sama menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menggalakkan penduduk menghasilkan produk yang berpotensi dikomersialkan, khususnya berasaskan sumber tempatan seperti gula apong dan makanan tradisional.
"Usahawan di peringkat kampung harus berani ke hadapan, memohon bantuan, lesen dan geran yang tersedia agar perniagaan dapat diperkembangkan secara sah dan mampan,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru para peniaga untuk mendapatkan kelulusan produk dan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Gedong dan Pejabat Daerah Gedong agar operasi perniagaan berjalan secara teratur.
Beliau juga menggesa agar bantuan dan geran yang disediakan agensi berkaitan dimanfaatkan sepenuhnya untuk modal permulaan atau pembelian peralatan niaga.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan usahawan kampung, beliau turut mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Usahawan Kampung Ensengai Melayu bagi tujuan aktiviti dan pengurusan program.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi, Penyelaras Tugas Khas Premier Sarawak, Mustapha Japar, Penghulu Musa Pauzi serta Pengerusi Persatuan Usahawan Kampung Ensengai Melayu, Siyot Che. –EDISI UKAS