Murid Sekolah Pedalaman Buktikan Potensi Setanding Pelajar Bandar Dalam Pameran Inovasi & STEM
SRI AMAN: Murid-murid dari sekolah pedalaman di Bahagian Sri Aman membuktikan bahawa mereka memiliki potensi yang setanding dengan pelajar di bandar, meskipun berhadapan dengan kekurangan kemudahan pembelajaran yang lebih lengkap.
Perkara ini diserlahkan dalam Program Pameran Inovasi dan Sain, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Bahagian Sri Aman yang diadakan di Dewan Crossland Sekolah Kebangsaan (SK) St Lawrence (M) Sabu, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, program sehari itu menampilkan inovasi dan projek kreatif murid-murid sekolah rendah dari kawasan luar bandar, yang berjaya memberi penerangan terperinci tentang projek mereka dalam Bahasa Inggeris, satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Saya amat teruja melihat kebolehan murid-murid pedalaman ini yang dapat menerangkan projek mereka dalam Bahasa Inggeris dengan begitu lancar dan yakin,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa potensi murid luar bandar tidak kurang hebat berbanding pelajar di bandar, walaupun kekangan dari segi kemudahan pembelajaran seperti peralatan dan teknologi terkini sering menjadi cabaran utama mereka.
“Kita bekerja keras memastikan murid-murid ini didedahkan dengan ilmu STEM supaya mereka mampu bersaing dan menjadi modal insan yang berkualiti.
“Komitmen kerajaan Sarawak melalui program pendidikan percuma di universiti negeri adalah bukti sokongan penuh untuk mengangkat potensi mereka,” katanya lagi.
Dalam pameran tersebut, murid-murid bukan sahaja mempamerkan hasil kreativiti mereka melalui projek roket air dan demonstrasi drone, tetapi juga memperlihatkan kefahaman yang mendalam dalam aspek teknologi dan sains, setara dengan rakan sebaya di kawasan bandar.
Guru Besar SK St Lawrence (M) Sabu, Alfred Kendim, berkata program sebegini adalah platform penting untuk memberi peluang kepada pelajar pedalaman meneroka dunia STEM dan membina keyakinan mereka.
“Ini adalah langkah proaktif kami untuk memastikan murid-murid kami tidak ketinggalan dan dapat bersaing dalam era digital masa kini,” ujar beliau.
Program Pameran Inovasi dan STEM Sri Aman ini menjadi bukti jelas bahawa dengan sokongan yang tepat, pelajar dari sekolah pedalaman mampu mencapai kecemerlangan yang bukan sahaja membanggakan komuniti mereka, tetapi juga membina masa depan Sarawak yang lebih cemerlang dan inklusif. -EDISI UKAS