Acara Rakyat dan Hiburan Mesra Keluarga Tarikan Belaga Regatta 2025
BELAGA: Belaga Regatta 2025 bukan sahaja menjadi pentas perlumbaan bot tradisional, malah tampil sebagai acara rakyat yang penuh warna-warni dengan pelbagai aktiviti mesra keluarga yang menarik perhatian pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang turut meluangkan masa hadir ke tapak regatta pada Ahad bagi menyantuni orang ramai serta menikmati suasana kemeriahan acara.
Antara lokasi yang dikunjungi beliau termasuk tapak Fun Fair, gerai jualan makanan dan minuman, serta pelbagai gerai barangan tempatan yang menjadi tumpuan para pengunjung.
“Belaga Regatta ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi turut menyatukan masyarakat dalam suasana penuh harmoni.
“Kehadiran seisi keluarga ke acara ini menunjukkan betapa kukuhnya nilai perpaduan di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui di tapak acara pada Ahad.
Suasana bertambah meriah dengan persembahan pentas istimewa oleh dua artis terkenal dari Bumi Kenyalang, Winnie Albert dan Ery Lang bersama Kumpulannya Taju Remaong yang berjaya memukau para penonton dengan persembahan bertenaga mereka.
Selain itu, acara cabutan tiket bertuah turut menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh para pengunjung.
Belaga Regatta terus membuktikan peranannya sebagai platform perpaduan, promosi budaya tempatan, serta destinasi hiburan keluarga yang dinanti-nantikan saban tahun. -EDISI UKAS