Sarawak & Denmark Teroka Kerjasama Hijau Bagi Pengangkutan Lestari
KUCHING: Sarawak dan Denmark meneroka potensi kerjasama dalam bidang pengangkutan hijau dan tenaga mampan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda pembangunan lestari negeri ini.
Duta Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, bagi membincangkan kerjasama R&D dalam teknologi hidrogen, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan inovasi pengangkutan rendah karbon di Sarawak.
Dato Sri Lee dalam sesi pertemuan itu turut berkongsi perkembangan projek Transit Aliran Autonomi (ART)di bawah Sistem Transit Bandar Kuching (KUTS), iaitu sistem pertama seumpamanya di Malaysia yang menggunakan tenaga hidrogen, sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkasakan pengangkutan berasaskan tenaga bersih.
Beliau turut memaklumkan mengenai rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu sebagai pintu masuk moden dan pemangkin ekonomi serantau.
Duta Denmark juga menyatakan sokongan terhadap visi pembangunan Sarawak yang menekankan kelestarian alam sekitar dan menyuarakan kesediaan negaranya untuk menjalin kerjasama dalam pemindahan teknologi serta perkongsian kepakaran bagi menjadikan Sarawak peneraju pengangkutan hijau di rantau ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Selamat Jati Yanjah dan Penasihat Teknikal Penerbangan, Sio Yew Hua.-EDISI UKAS