Pembangunan Infrastruktur Perkukuh Pertumbuhan Sarikei
SARIKEI: Pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik di Sarikei terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan mobiliti rakyat serta pembangunan menyeluruh kawasan bandar dan luar bandar di bahagian ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan telah memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dari segi kemudahan perhubungan, ekonomi dan peluang pelaburan.
Menurut beliau, projek seperti Jalan Sarikei–Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang bukan sahaja memudahkan perjalanan penduduk, malah membuka lebih banyak potensi pembangunan di kawasan sekitar.
“Pembinaan Jalan Sarikei–Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang merupakan antara projek infrastruktur yang memberi impak besar kepada pembangunan kawasan ini.
“Kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-67 sebuah pertubuhan masyarakat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, pada Khamis.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, usaha memperkukuh pembangunan di Sarikei akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan dan peluang pembangunan yang lebih baik pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan semangat kerjasama, perpaduan dan saling menyokong demi memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berterusan untuk manfaat bersama.-EDISI UKAS