Pemimpin Sarawak Seru Perkukuh Komitmen Bangunkan Masa Depan Negeri
SIMANGGANG: Kepimpinan Sarawak menyeru seluruh rakyat agar terus memperkukuh komitmen dan semangat kebersamaan dalam usaha membangunkan negeri ini demi masa depan generasi akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini sedang berada pada landasan penting menuju status negeri maju menjelang tahun 2030 sekali gus memerlukan sokongan padu semua pihak untuk menjayakan agenda pembangunan tersebut.
Menurut beliau, rakyat tidak seharusnya hanya mengimbau sejarah pembangunan negeri sepanjang lebih enam dekad lalu, sebaliknya perlu bersama-sama memperbaharui tekad dan iltizam demi memastikan kesinambungan kemajuan Sarawak.
“Kita tidak seharusnya hanya bertindak menghayati sejarah kepimpinan terdahulu dan sumbangannya kepada pembangunan negeri ini, namun sebaliknya memperbaharui semula komitmen perjuangan untuk rakyat.
“Perbaharuan terbabit selaras dengan usaha kita untuk membawa seluruh rakyat sama-sama membantu membina negara bangsa Sarawak selepas lebih enam dekad dalam Malaysia dan seterusnya membina asas kukuh ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-67 SUPP Cawangan Simanggang dan Upacara Menaikkan Bendera di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tempoh lima tahun akan datang amat penting bagi menentukan hala tuju pembangunan Sarawak termasuk usaha memperkasakan infrastruktur, kebajikan rakyat dan pendidikan.
“Kerajaan Sarawak pada masa kini bukan sahaja sedang berusaha memperkasakan infrastruktur dalam negeri ini malah menyalurkan pelbagai bantuan kebajikan termasuk menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat di universiti-universiti dalam negeri ini.
“Justeru, saya berharap agar seluruh rakyat menyedari betapa pentingnya masa depan negeri ini kerana ia bukan hanya sekadar soal politik tetapi menentukan kesinambungan agenda pembangunan dan masa depan Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan. -EDISI UKAS