Pelantikan Ketua Masyarakat Baharu Perkukuh Pentadbiran Komuniti Di Simanggang
SIMANGGANG: Cadangan pelantikan tiga Ketua Masyarakat komuniti Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang dijangka mampu memperkukuh lagi sistem pentadbiran dan kepimpinan komuniti di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, cadangan tersebut melibatkan pelantikan seorang Pemanca dan dua Penghulu bagi mewakili komuniti Melayu di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan urusan masyarakat setempat dapat diselaras dengan lebih berkesan selain memperkukuh hubungan antara rakyat dan kerajaan.
“Untuk makluman, DUN Simanggang setakat ini hanya mempunyai 11 Ketua Kampung komuniti Melayu dari Kampung Muhibbah, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), Taman Harmoni, Taman Sri Jaya dan Taman Desa Indah.
“Bagaimanapun, disebabkan ketiadaan Pemanca dan Penghulu komuniti Melayu di DUN Simanggang maka saya sudah pun memohon pelantikan Ketua Masyarakat yang bakal diluluskan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-67 SUPP Cawangan Simanggang dan Upacara Menaikkan Bendera di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa SUPP Cawangan Simanggang kini mempunyai seramai 4,700 ahli dan menyasarkan peningkatan kepada 5,000 ahli menjelang penghujung tahun ini.
“Saya berharap agar ahli yang sedia ada dapat membantu memperkenalkan parti dan menambah ahli baharu bagi memperhebatkan lagi perjuangan membangunkan kehidupan rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada majlis sama, Datuk Francis Harden turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai keseluruhan RM89,000 kepada 28 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta biro wanita dalam kawasan DUN Simanggang.
Terdahulu, majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian. -EDISI UKAS