Projek Jalan Simen RM200,000 Tingkat Kemudahan Penduduk Rumah Weng
KAPIT: Projek pembinaan jalan simen bernilai RM200,000 di Rumah Weng, Nanga Sempurau, Mujong dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan meningkatkan kemudahan perhubungan serta akses ke kawasan sekitar.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan kemudahan infrastruktur dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
“Pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan yang lebih baik serta meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
“Oleh itu, rakyat perlu terus memberi sokongan dan bekerjasama dengan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar agenda pembangunan dapat diteruskan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek tersebut di sini, pada Rabu.
Selain merasmikan projek jalan simen berkenaan, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM30,000 kepada komuniti setempat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta RM10,000 lagi disalurkan kepada Biro Wanita.
Hadir sama semasa majlis itu ialah Pegawai Daerah Kanowit Cerisologo Sabut.-EDISI UKAS