SABERKAS & Skuad Antidadah Sarawak Prihatin, 20 Keluarga Terima Bakul Makanan Di Mukah
MUKAH: Sebanyak 20 keluarga di sekitar Kampung Kuala Lama dan Skim Penempatan Semula (SPS) Kuala Lama menerima sumbangan bakul makanan melalui Program Prihatin anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Skuad Antidadah Sarawak, dengan kerjasama pelbagai pertubuhan dan komuniti setempat.
Program tersebut turut disertai Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tellian, Komuniti Madani Kampung Datuk, SPS Kuala Lama, serta rombongan berbasikal dan Komuniti Vaei dari Bintulu.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, bersama ADUN Jepak, Iskandar Turkee yang turut berpeluang beramah mesra dengan para penerima dan menyantuni penduduk setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan memerlukan, tetapi juga menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, komuniti, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat akar umbi.
Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Mohd Rizal Alias, Pegawai Penerangan Daerah Mukah Syahrulizan Madian dan Pegawai Penerangan Daerah Bintulu Linda Padan. -EDISI UKAS