Malam Finale Street Bite Fest Tarik 7,000 Pengunjung
ASAJAYA: Festival Street Bite yang berlangsung di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat berjaya mencatatkan kejayaan yang luar biasa dengan menarik kehadiran lebih 7000 pengunjung.
Acara ini turut disertai Temenggung Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, bersama-sama beberapa ketua kaum dari kawasan Tambirat yang memberi sokongan penuh terhadap acara ini.
Festival ini menyaksikan penyertaan 35 vendor dari Kuching dan Kota Samarahan yang masing-masing mempersembahkan pelbagai hidangan popular dan terkini yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Gerai-gerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, dari hidangan tradisional hingga moden, jelas menceriakan suasana dengan kelazatan dan kepelbagaian rasa.
Acara kemuncak pada Ahad menyaksikan persembahan istimewa daripada artis terkenal, Ben Laden yang berjaya menghangatkan suasana dengan penampilan bertenaga dan menarik perhatian ribuan penonton.
Acara ini diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang memukau, mencipta detik-detik indah dan mengesankan yang bakal dikenang oleh para pengunjung.
Para pengunjung yang hadir, terutama dari kalangan penduduk setempat, tidak berganjak dari pentas utama hingga ke saat-saat terakhir, menunjukkan kegembiraan dan kepuasan mereka terhadap festival ini.
Festival ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan makanan tempatan dan produk-produk kreatif, tetapi juga mengeratkan hubungan antara komuniti dan membuktikan potensi besar acara seperti ini dalam merancakkan ekonomi setempat.
Masyarakat setempat dan pengunjung berharap agar acara sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi terus mempromosikan Tambirat sebagai destinasi utama dalam kalendar acara Sarawak. -EDISI UKAS