SHInE 2026 Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Hab Inovasi dan Penyelidikan Antarabangsa
KOTA SAMARAHAN: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Sarawak SHInE 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 11 September depan di Kuching.
Persidangan yang membawa tema “Advancing Science, Health, Innovation and Engineering” itu menjadi platform strategik menghimpunkan pakar, penyelidik, pemain industri serta pembuat dasar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian dalam bidang sains, kesihatan dan teknologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran SHInE 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu kecemerlangan penyelidikan yang memberi impak praktikal kepada pembangunan Sarawak.
“Persidangan ini bukan sekadar ruang perkongsian ilmu, tetapi platform untuk membina jaringan kerjasama yang mampu menghasilkan penyelesaian sebenar kepada cabaran semasa di peringkat tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertama SHInE 2026 di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI), di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, lebih 300 peserta dijangka menghadiri persidangan tersebut yang akan menampilkan lebih 30 penceramah pakar serta 30 sesi merangkumi pelbagai bidang kepakaran.
Katanya, penyertaan penceramah antarabangsa dari United Kingdom, Australia, Kemboja, Singapura dan Taiwan turut menyerlahkan capaian global persidangan berkenaan.
Persidangan yang dianjurkan oleh Sarawak Research and Development Council (SRDC) dan Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) itu turut menampilkan sesi perbincangan panel yang memfokuskan kepada usaha mempercepatkan pembangunan teknologi mampan serta meningkatkan impak inovasi di Sarawak.
Selain itu, peserta juga berpeluang menyertai lawatan teknikal ke Sarawak Science Centre dan SIDC, di samping menghadiri pameran teknologi serta pembentangan produk inovatif terkini.
Menurut Dato Sri Roland Sagah lagi, SHInE 2026 turut memberi penekanan kepada penglibatan golongan muda melalui Program BrightSparX anjuran SRDC, termasuk penganjuran Anugerah Inovasi BrightSparX Premier bagi mengiktiraf idea kreatif dan berimpak tinggi dalam kalangan belia.
Usaha ini jelasnya dilihat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi pelapis berkemahiran tinggi yang mampu memacu agenda ekonomi berasaskan pengetahuan.
Persidangan tersebut turut mendapat sokongan rakan strategik antarabangsa termasuk Asia PGI dan UKSEA Vax Hub, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi global dalam bidang sains dan inovasi.
Turut Hadir, Timbalan Menteri MEITD, Datuk Francis Harden Hollis serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS