Pemilihan Sarawak Sebagai Tuan Rumah SHInE 2026 Jadi Pemangkin Kemajuan Inovasi Kesihatan & Sains Global
KOTA SAMARAHAN: Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Persidangan Antarabangsa SHInE 2026: ‘Advancing Science, Health, Innovation and Engineering’ pada 9 hingga 11 September 2026 di Kuching kelak akan menjadi pemangkin kepada kemajuan inovasi kesihatan dan sains global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran SHInE 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan ekosistem penyelidikan bertaraf global yang mampu menjana penyelesaian praktikal kepada cabaran semasa.
Menurut beliau, Sarawak bukan sahaja berperanan sebagai tuan rumah, malah berhasrat menjadi hab yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan pelaksanaan dasar secara menyeluruh demi manfaat masyarakat.
“Persidangan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan dan pembangunan yang berimpak tinggi,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Ts Dr Peter Morin Nissom menjelaskan bahawa SHInE 2026 membawa visi besar dalam membentuk ekosistem inovasi masa hadapan dengan menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin di bawah satu platform strategik.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), Profesor Madya Dr Ivan Yap Kok Seng memaklumkan bahawa pihaknya kini mempunyai lebih 30 rakan kerjasama aktif termasuk jaringan antarabangsa yang menyokong pembangunan penyelidikan vaksin, genomik serta teknologi kesihatan.
Tambah beliau, kolaborasi strategik bersama rakan global seperti UKSEA Vax Hub dan Asia PGI turut memperkukuh keupayaan Sarawak dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi.
Antara sorotan utama persidangan ini termasuk penyertaan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara, pembentangan oleh lebih 30 pakar antarabangsa, program pembangunan bakat melalui inisiatif BrightSparX serta pameran inovasi yang melibatkan lebih 30 organisasi.
Selain itu, persidangan ini turut menyediakan platform padanan perniagaan, lawatan teknikal dan pelancaran produk terkini yang berpotensi merancakkan pertumbuhan industri berasaskan teknologi dan kesihatan.
Penganjuran SHInE 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penyelidikan dan inovasi di rantau ini, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan serta meningkatkan daya saing global negeri.
Turut hadir, Timbalan Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis. -EDISI UKAS