Sembilan Projek Masjid dan Surau Di Lawas Terima Peruntukan Khas Perdana Menteri
LAWAS: Usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur keagamaan terus diperkasa apabila sebanyak sembilan projek naik taraf dan baik pulih masjid serta surau di daerah ini menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM0.95 juta di bawah peruntukan khas Perdana Menteri.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli di Masjid Sundar pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap projek yang dilaksanakan adalah berdasarkan keperluan sebenar di lapangan dengan mengambil kira pandangan pihak pengurusan masjid dan surau.
“Skop kerja ditentukan mengikut apa yang benar-benar diperlukan oleh pihak pengurusan agar projek yang dilaksanakan memberi manfaat secara menyeluruh kepada komuniti,” katanya.
Pelaksanaan projek tersebut dilihat mampu meningkatkan keselesaan masyarakat setempat dalam menjalankan aktiviti keagamaan, di samping memperkasa fungsi institusi masjid dan surau sebagai pusat penyatuan komuniti.
Program penyerahan surat tawaran kepada kontraktor serta penyerahan tapak projek telah diadakan bagi mempercepatkan pelaksanaan, sekali gus memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek bersifat segera dan kritikal akan diberi keutamaan, manakala projek lain dilaksanakan mengikut turutan permohonan yang telah berdaftar.
Antara projek terlibat termasuk kerja naik taraf Masjid Besar Sundar, baik pulih Surau Al-Qardawi Kampung Sualai serta beberapa projek lain di kawasan Merapok, Trusan dan Kuala Lawas dengan nilai peruntukan antara RM50,000 hingga RM200,000 bagi setiap projek.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur keagamaan dilaksanakan secara terancang dan berkesan, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan komuniti setempat.-EDISI UKAS