Program Jelajah Geologi Perkasa Pendidikan Geopark
PADAWAN: Usaha memperkasa pembangunan geopark di Sarawak terus dipergiat melalui pendekatan pendidikan apabila Program Jelajah Geologi di Sekolah Siri Padawan dilaksanakan sebagai inisiatif strategik untuk menyemai kesedaran pemeliharaan warisan bumi dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia itu merupakan sebahagian daripada agenda pendidikan Sarawak Delta Geopark, melibatkan pelaksanaan secara bersiri di tiga sekolah sekitar Padawan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug pada 1 April, SK St Patrick Semadang pada 8 April dan SK St Bernard Sadir 15 April kelak.
Inisiatif tersebut memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai asas geologi menerusi aktiviti lapangan, termasuk pengenalan jenis batuan di persekitaran sekolah serta peranannya dalam pembentukan tanah dan sokongan kepada biodiversiti untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Selaras dengan aspirasi pembangunan geopark bersepadu, program turut mengetengahkan elemen warisan budaya melalui pendedahan kepada penggunaan batuan dalam kehidupan tradisional, seni bina serta nilai budaya masyarakat tempatan yang membentuk identiti unik kawasan geopark.
Selain itu, aspek keselamatan turut diberi penekanan apabila pelajar didedahkan kepada risiko geobencana seperti tanah runtuh dan hakisan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai hubungan antara struktur geologi dan potensi bencana alam.
Program yang berlangsung di SK Kambug itu telah dihadiri Ketua Unit Pengurusan Geopark Jabatan Hutan Sarawak, Madeline George Pau, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Guru Besar SK Kambug Mollin Katis.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak bakal mencatat detik bersejarah apabila Sarawak Delta Geopark dijadual menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai UNESCO Global Geopark pada 23 April 2026, sekali gus mengangkat kedudukannya ke persada global.
Pada masa sama, pembangunan geopark turut berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui pengembangan sektor pelancongan berasaskan komuniti yang mampan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk. -EDISI UKAS