Press Metal Sdn Bhd Suntik Tajaan RM1 Juta Kepada Kuching City FC
KUCHING: Syarikat Press Metal Sdn Bhd terus menyatakan sokongan padu kepada Kuching City FC (KCFC) dengan menyuntik tajaan berjumlah RM1 bagi mengharungi kempen Liga Super Malaysia 25/25.
Pengerusi KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menzahirkan penghargaan terhadap syarikat tersebut kerana terus memberi kepercayaan kepada pasukannya yang telah menerima sumbangan tersebut sejak tahun 2023.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Press Metal memberi kepercayaan kepada pasukan kami dan sekali lagi memberi suntikan lagi untuk tahun ini," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Tajaan RM1 juta Kepada KCFC di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Simbolik penyerahan tajaan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Ooi Beng Guan dan Ketua Pegawai Eksekutif KCFC Iswandi Ali Hassan sambil disaksikan oleh Dato Fazzrudin.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Ooi Beng Guan menjelaskan, pihaknya akan terus menyokong pasukan tersebut dalam usaha menyokong pembangunan industri sukan terutamanya bola sepak di Sarawak.
Ujarnya, beliau berharap KCFC akan terus mencabar liga pada musim ini setelah melihat kepada pengurusan yang dipimpin oleh Dato Fazzrudin yang berjaya meraih tempat keempat pada musim lepas.
"Kami percaya KCFC akan terus berusaha untuk meningkat bagi musim kali ini di mana Dato Fazzrudin memberitahu yang pasukan ini telah berjaya mendapat tempat keempat musim lepas.
"Saya tahu dia agak konservatif dengan sasaran pasukan kali ini iaitu tempat ketiga pada musim kali ini tetapi saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan saya percaya KCFC akan menduduki tempat yang lebih tinggi," katanya. - EDISI UKAS