NILAI: Dua petinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong dan Mikail Ghazali mencipta sensasi apabila masing-masing memenangi pertarungan Twins Championship 102 yang berlangsung di Stadium N9 Arena hari ini.
Daeloniel atau Kilat Boy (26) memastikan kejuaraan WBC Asia Continental Super Bantamweight menjadi miliknya selepas menundukkan petinju muda dari Thailand, Natthawat Aiemsuebnum dalam pusingan kelima.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah bagi Kilat Boy apabila dipaksa bekerja keras oleh lawannya yang baharu berusia 22 tahun itu.
Kedua-dua petinju saling berbalas tumbukan sebaik loceng dibunyikan dengan Kilat Boy kerap melepaskan kombinasi tumbukan kencang dan hook ke arah Natthawat.
Natthawat enggan mengalah dan cuba mengasak Kilat Boy di segenap penjuru untuk mencuri peluang bagi merebahkan lawannya.
Namun, pengalaman dan kepantasan dimiliki Kilat Boy digunakan sepenuhnya untuk beliau memerangkap pergerakan Natthawat bagi menyudahkan petinju muda itu dalam pusingan kelima.
Sementara itu, Mikail Ghazali atau lebih dikenali sebagai Miki, 16, melakar kejutan apabila berjaya menundukkan petinju berpengalaman dari Indonesia, Mikel Sleman, 32, dalam kategori flyweight.
Aksi bermula dengan kelebihan berpihak kepada Mikel yang agresif pada dua pusingan awal, melepaskan kombinasi tumbukan cross dan straight punch tepat ke arah Miki.
Namun begitu, pusingan ketiga berlangsung lebih seimbang apabila Miki mula membaca rentak lawan dan berjaya melakukan beberapa serangan balas tepat mengenai lawannya.
Usaha itu membuahkan hasil pada pusingan keempat apabila dia tampil lebih dominan dengan siri serangan balas bertenaga yang memaksa Mikel akur. - EDISI UKAS