Projek Naik Taraf Jalan Kubur Kampung Sungai Pinang Sega Dilaksanakan
SIMUNJAN: Projek naik taraf jalan menuju kawasan perkuburan Kampung Sungai Pinang Sega kini sedang giat dilaksanakan.
Projek bernilai RM200,000 itu diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan.
Ia mula dibina pada Julai 2025 dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini.
Projek ini merangkumi pembinaan sebuah jambatan konkrit serta kerja-kerja menurap jalan sepanjang 70 meter menuju ke kawasan perkuburan kampung berkenaan.
Usaha ini dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada penduduk, khususnya dalam memudahkan urusan harian serta kegiatan adat dan keagamaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Pinang Sega menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan berkenaan.
“Inilah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diberi perhatian.
"Kami berharap lebih banyak projek seperti ini akan dilaksanakan di masa akan datang,” jelasnya.
Seorang penduduk kampung, Latif Rimsad ketika ditemui berkata, projek tersebut amat dialu-alukan kerana ia sudah lama dinantikan oleh masyarakat setempat.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Snowdan kerana prihatin dengan keperluan penduduk.
"Dengan adanya jalan yang lebih baik, urusan ke kubur lebih selesa dan selamat, terutama ketika musim hujan,” katanya. -EDISI UKAS