Projek Tebatan Hakisan Pantai & Tebing Sungai Dipergiat Lindungi Komuniti Pesisir
KUCHING: Usaha menangani isu hakisan pantai dan tebing sungai di Sarawak terus diperkukuh menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik di kawasan berisiko bagi melindungi penempatan penduduk, infrastruktur awam serta sumber ekonomi komuniti setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek Mengatasi Banjir Pantai melibatkan kawasan Pantai Tanjung Riong, Maludam dan Kampung Beting Maro kini berada pada peringkat perolehan dengan Surat Setuju Terima (LOA) dijangka dikeluarkan pada Oktober 2026.
Menurut beliau, langkah tersebut penting dalam mengurangkan risiko hakisan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk serta kemudahan asas di kawasan pesisir.
“Bagi kawasan Kabong, tender projek perlindungan tebing sungai di Kampung Sungai Benang (Fasa 1) dijangka dipanggil pada suku ketiga tahun ini, manakala proses pelantikan perunding bagi projek pengalihan Sungai Seblak akan bermula Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata cadangan projek pemuliharaan Sungai Gigis yang melibatkan beberapa kampung di Daerah Kecil Balingian akan dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Tambah beliau, pelaksanaan projek tebatan hakisan tersebut bukan sahaja bertujuan mengurangkan impak bencana alam, malah memastikan kelangsungan kehidupan komuniti setempat serta melindungi sumber ekonomi penduduk di kawasan terjejas.
Jelasnya lagi, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh daya tahan kawasan pesisir dan tebing sungai sejajar dengan agenda pembangunan mampan Sarawak.
Usaha berterusan itu diyakini mampu meningkatkan keselamatan komuniti, mengurangkan risiko kerosakan infrastruktur serta menjamin kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan pantai dan sepanjang tebing sungai di negeri ini. -EDISI UKAS