Sarawak Perkukuh Pemerkasaan Kepimpinan Wanita Menerusi Program Pembangunan Strategik
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pemerkasaan kepimpinan wanita menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan strategik yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran, kapasiti diri dan potensi wanita pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui pelaksanaan program seperti Women Leadership Programme (WLP), Leadership Bootcamp for Youth serta Program Master of Arts in Leadership Development, wanita termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) wanita serta mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diberi peluang memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi strategik dan pemikiran kritikal.
Menurut beliau, bermula tahun ini program WLP diperluaskan kepada tiga sesi melibatkan wakil NGO dan KMKK wanita di seluruh Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu jelasnya, sesi pertama telah diadakan di Bahagian Bintulu pada 17 hingga 19 April lalu melibatkan 30 peserta terdiri daripada 20 wakil NGO dan 10 wakil KMKK wanita dari daerah Bintulu, Sebauh dan Tatau.
“Dua lagi sesi program tersebut dijadualkan berlangsung di Bahagian Sibu dan Miri masing-masing pada Ogos dan Oktober 2026,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program Leadership Bootcamp for Youth yang menyasarkan mahasiswa wanita IPT turut diteruskan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita muda sejak awal.
Dua sesi program tersebut akan dilaksanakan di Bahagian Miri dan Kuching pada Jun serta September depan.-EDISI UKAS