Sarawak Perkukuh Bantuan Kewangan Bulanan, Ringankan Beban Kos Sara Hidup Golongan Rentan
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak terus memperkukuhkan usaha membantu golongan rentan berdepan tekanan kos sara hidup menerusi penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan Kebajikan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penerima di seluruh negeri.
Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sehingga 30 April 2026 seramai 56,585 penerima telah mendapat manfaat daripada bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan RM101.4 juta.
“Bantuan ini disalurkan terus kepada penerima bagi meringankan beban sara hidup mereka, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Selain bantuan kewangan bulanan, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan Bantuan Kesihatan Bersasar bagi memastikan akses rawatan lebih menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.
Sehingga 30 April 2026, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang seramai 334 penerima dengan kos RM7.53 juta, Bantuan Perubatan kepada 59 penerima dengan kos RM850,000, serta Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan kepada 47 penerima dengan kos RM130,000.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak turut menambah baik skim bantuan perubatan melalui pembiayaan pengimejan Positron Emission Tomography (PET Scan) bagi memperluas akses pesakit kepada teknologi diagnostik kanser yang lebih moden dan tepat.
“Penambahbaikan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem sokongan kesihatan yang lebih inklusif dan responsif kepada keperluan rakyat,” katanya.
Selain itu, Dato Sri Fatimah turut menyatakan Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM13.7 juta bagi pengurusan dan penyaluran bantuan bencana tahun 2026 melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada mangsa yang terjejas di seluruh negeri.
“Dalam tempoh Januari hingga April 2026, JKMS telah menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM6.9 juta kepada 68,483 mangsa di seluruh Sarawak, sekali gus menunjukkan kecekapan sistem respons kebajikan negeri dalam menangani situasi kecemasan secara berkesan,” jelas beliau.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery