Sarawak Kukuh Status ‘Powerhouse’ Sukan OKU, Raih 176 Pingat Di Temasya Kebangsaan
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar sukan Orang Kurang Upaya (OKU) negara apabila muncul juara keseluruhan Temasya Special Olympics Malaysia 6th National Games Sarawak 2026 dengan kutipan 176 pingat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan usaha pemerkasaan inklusif kerajaan negeri dalam membuka ruang penyertaan serta mengangkat potensi atlet OKU ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, temasya yang berlangsung di Bintulu pada 24 hingga 26 April lalu menghimpunkan seramai 778 peserta dari 11 negeri dan Wilayah Persekutuan dengan lapan acara sukan dipertandingkan termasuk olahraga, renang, bocce dan bola sepak lima sebelah.
“Kontinjen Sarawak telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 176 pingat iaitu 56 emas, 68 perak dan 52 gangsa, sekali gus mencerminkan kekuatan bakat serta sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan OKU di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, penganjuran temasya tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada atlet OKU untuk bersaing secara sihat, malah membantu meningkatkan keyakinan diri serta martabat golongan tersebut dalam masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, program Healthy Athletes turut dilaksanakan sepanjang kejohanan melibatkan seramai 391 atlet dengan lebih 2,321 saringan kesihatan dijalankan termasuk pemeriksaan oleh doktor dan pakar kesihatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan atlet para Sarawak di peringkat antarabangsa turut memperkukuh reputasi negeri sebagai ‘Powerhouse OKU Sports’ apabila seramai 31 atlet dari Sarawak mewakili negara pada Temasya ASEAN Para Games Ke-13 di Korat, Thailand.
“Mereka telah menyumbang 13 emas, 14 perak dan 10 gangsa, sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri di persada antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas peruntukan RM2 juta bagi penganjuran temasya berkenaan selain insentif berjumlah RM143,000 kepada 19 atlet para Sarawak yang berjaya meraih pingat.
Menurut beliau, sokongan berterusan kerajaan negeri menerusi penyediaan platform pertandingan, insentif dan program pembangunan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa komuniti OKU serta memastikan mereka terus cemerlang dalam bidang sukan.
Pencapaian membanggakan itu sekali gus memperlihatkan komitmen Sarawak dalam membangunkan ekosistem sukan yang inklusif, kompetitif dan bertaraf antarabangsa untuk semua lapisan masyarakat. -EDISI UKAS