Pindaan Item 25A (Pelancongan) Senarai I (Persekutuan) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Akan Diteliti
KUCHING: Isu berkaitan pelancongan sedang diteliti secara menyeluruh, khususnya dari sudut pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Pindaan Item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 itu, Kementerian Pelancongan perlu mengadakan libat urus dengan semua negeri di Malaysia, bukan hanya Sabah dan Sarawak, bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkaitan kedudukan kuasa pentadbiran dalam sektor pelancongan.
“Kita perlu perhalusi apa yang boleh diserahkan kepada negeri, apa yang berada di bawah kuasa bersama, dan apa yang terletak sepenuhnya di bawah kuasa Persekutuan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media Mesyuarat MTPMA63 yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada petang Jumaat.
Dato Sri Fadillah menegaskan bahawa tiada sebarang isu dari segi pelaksanaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri, di mana kedua-duanya masih bekerjasama dengan baik.
Namun, persoalan utama yang dibincangkan melibatkan aspek perundangan, khususnya berkaitan penyenaraian kuasa di bawah Perlembagaan.
“Mengikut Perlembagaan, kuasa dibahagikan kepada tiga senarai iaitu Persekutuan, Negeri, dan Kuasa Bersama. Namun, ada perkara-perkara baharu seperti alam sekitar dan pelancongan yang pada asalnya tidak dinyatakan secara jelas dalam mana-mana senarai semasa penggubalan Perlembagaan dahulu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pelancongan dan alam sekitar hanya dimasukkan ke dalam Senarai Persekutuan pada tahun 1992, dan tiada konsultasi menyeluruh dengan negeri-negeri dilakukan ketika itu.
Oleh itu, timbul cadangan untuk memasukkan pelancongan sebagai kuasa bersama, bagi memastikan penyelarasan dan kerjasama yang lebih berkesan antara semua pihak. -EDISI UKAS