Projek Pembinaan Dewan Serbaguna Stungkor Baru & Jalan Pertanian Stenggang Dilaksana
LUNDU: Dua projek besar iaitu pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Stungkor Baru bernilai RM450,000 serta projek Jalan Pertanian dari Ruh Puluoh ke Sungai Situ, Kampung Stenggang sepanjang 2.2 kilometer dengan kos RM1.2 juta dilaksanakan.
Bercakap mengenai pembinaan dewan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, menegaskan bahawa ianya merupakan satu keperluan yang lama dinantikan penduduk dan beliau yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Dengan adanya dewan ini kelak, ia akan menjadi pusat kegiatan masyarakat, majlis keramaian, pendidikan, serta tempat pertemuan rasmi penduduk,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan kedua-dua projek berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Di kesempatan itu, beliau turut meninjau kemajuan projek jalan pertanian di Kampung Stenggang yang bakal membuka laluan lebih baik kepada penduduk, khususnya petani tempatan.
Jalan baharu tersebut diyakini akan memudahkan mobiliti, meningkatkan produktiviti pertanian, dan menghubungkan komuniti secara lebih efisien.
Majlis penyerahan tapak projek dewan yang dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lundu turut disaksikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak Niponi Undek dan Pegawai Tadbir Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Mohd Badrulhisyam Muta-ee.
Kedua-dua projek ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kawasan luar bandar seperti Opar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, sejajar dengan agenda kerajaan negeri memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar. -EDISI UKAS