KUCHING: Sarawak masih lagi menghadapi masalah kekurangan guru yang memilih opsyen Bahasa Iban, meskipun dua institut telah menawarkan jurusan berkenaan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, keadaan ini akan berubah tidak lama lagi apabila Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut sama menawarkan pengajian Bahasa Iban, yang disasarkan pengambilannya dalam sesi akademik 2025/2026.
Katanya, ini merupakan salah satu usaha di pihak kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pendidik yang mengambil jurusan berkenaan.
“Perubahan cara pembelajaran Bahasa Iban daripada hanya mendengar pertuturan harian kepada pembelajaran khusus peringkat universiti menunjukkan kepada kita betapa pentingnya Bahasa Iban kepada generasi baru agar ia tidak hilang dalam arus pemodenan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Khamis.
Hadir menyampaikan syarahan berkenaan ialah Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang.
Mengulas lanjut, Dato Sri John Sikie menegaskan dengan adanya pertambahan universiti yang menawarkan opsyen Bahasa Iban, generasi muda termasuk bangsa lain dapat mempelajari, memahami dan bertutur menggunakan bahasa berkenaan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI Profesor Dr Suriani Abu Bakar, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Profesor Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi. -EDISI UKAS