KUCHING: Kontinjen Sarawak terus mengukuhkan dominasi dalam sukan memanah apabila berjaya merangkul deretan pingat emas pada temasya Borneo Games Kuching (BGK) 2025 di Sarawak Archery Range, pada Khamis.
Kemuncak detik manis bermula dengan Mohd Zullhanizam Mohamed Alibohan yang menghadiahkan emas sulung dalam acara Barebow Men.
Beliau menewaskan pencabar handal dari Sabah, Anuar Muhamad (perak) dan wakil Labuan, Jimmy Zaini @ Chew Abdullah (gangsa).
Tidak lama selepas itu, Sarawak menguasai sepenuhnya acara Barebow Women apabila Suryani Effendi muncul juara, diiringi dua rakan sepasukan, Nurul Qistina Kamaruzaman (perak) dan Jalimawati binti Razali (gangsa).
Sorakan terus bergema apabila bakat muda, Jaccard Lee, memastikan emas ketiga milik Sarawak dalam kategori Compound Men, manakala perak turut dimenangi rakan sepasukan, Zhorif Fahim Fadhillah.
Namun, dalam acara Compound Women, tuah tidak menyebelahi tuan rumah apabila Aira Nadirah Aizuddin berpuas hati dengan pingat perak selepas ditundukkan pemanah Kalimantan Timur, Rohani Sephia Ananda Hatta.
Kejohanan bertambah manis buat kontinjen Sarawak menerusi acara Recurve Women apabila Sabrina Ryusin Chin berjaya mengatasi lawan dari Sabah untuk meraih emas, diikuti Konny Su Yee Wong yang menambah gangsa.
Penutup penuh bergaya disempurnakan oleh Cecilna Thanaelbusu Polycarp yang muncul juara Recurve Men, sekali gus memastikan kontinjen Sarawak menutup acara memanah dengan kutipan emas terbanyak. -EDISI UKAS