27 Pelajar Cemerlang SMK Dato Permaisuri Terima Insentif
MIRI: Seramai 27 pelajar cemerlang SMK Dato Permaisuri diraikan dalam Majlis Penyerahan Insentif Murid Cemerlang 2024 yang berlangsung di sekolah itu pada Jumaat.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Adam Yii Siew Sang bersama Pengetua SMK Dato Permaisuri, Mary Wahab serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Olga De Justino Janting.
Dalam ucapannya, Adam Yii menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa pelajar sekolah tersebut dalam peperiksaan SPM 2024.
Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan dedikasi guru, sokongan ibu bapa, serta usaha gigih pelajar yang tidak mengenal penat lelah.
Tiga pelajar berjaya meraih keputusan straight A, seorang memperoleh 8A, manakala selebihnya mencatat keputusan antara 4A hingga 7A.
Sebagai penghargaan, Adam Yii menyampaikan insentif kepada semua pelajar cemerlang yang diraikan.
Beliau menegaskan bahawa pemberian tersebut bukan sekadar inisiatif sekali gus, tetapi akan diteruskan sebagai komitmen tahunan untuk mengiktiraf pencapaian akademik dan memberi galakan kepada pelajar.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan kerana masa depan Sarawak bergantung pada generasi muda.
Majlis tersebut diakhiri dengan penyerahan insentif kepada semua penerima serta penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.-EDISI UKAS