Golf VIP Erat Hubungan Pemimpin Borneo Sempena BGK 2025
KUCHING: Acara Golf VIP sempena Borneo Games Kuching (BGK) 2025 bukan sekadar pertandingan santai, tetapi menjadi platform penting mengeratkan silaturahim serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pemimpin, pegawai dan rakan strategik dari seluruh Kepulauan Borneo.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun acara itu tidak melibatkan atlet, ia tetap membawa nilai tambah kerana menghimpunkan wakil dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Provinsi Kalimantan Timur dan Brunei Darussalam.
“Acara golf VIP ini bukan sekadar santai bersama rakan-rakan dari Kepulauan Borneo, tetapi wadah untuk memperkukuhkan persahabatan, membina persefahaman serta merapatkan hubungan strategik antara pemimpin dan pegawai dari seluruh rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah di Kelab Golf Sarawak pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak penganjur, khususnya Kelab Golf Sarawak, atas kejayaan menganjurkan acara tersebut dengan lancar.
Dalam kategori individu, Hillferah Tan dari Sabah muncul juara dengan 38 mata, diikuti Mohd Nadzrul dari Sarawak di tempat kedua (37 mata) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri di tempat ketiga (37 mata).
Kategori khas pula menyaksikan SV Alfian Bawi memenangi Nearest to Pin di Hole 3 dengan jarak 7 kaki 4 inci, manakala Husini mengungguli Hole 17 dengan jarak 6 kaki 3 inci. Bagi Longest Drive, Hans dari Sarawak mencatat pukulan 307 meter di Hole 6, manakala Masly Ansilau dari Sabah merekodkan pukulan terjauh 322 meter di Hole 15.
Secara keseluruhan, Sarawak dinobatkan sebagai juara acara Golf VIP BGK 2025.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi BGK 2025, Dato Gerald Rentap Jabu, serta Gubernur Kalimantan Timur, Dr. H. Rudi Mas’ud.-EDISI UKAS