Pertandingan Kostum Kanak-Kanak Serikan Pesta Kuih Bulan Asajaya
ASAJAYA: Sambutan Pesta Kuih Bulan di sini bertambah meriah dengan penganjuran Pertandingan Kostum Kanak-Kanak yang mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak tempatan.
Pertandingan tersebut bukan sahaja menyerikan acara, malah membuka ruang kepada kanak-kanak menonjolkan kreativiti dan keyakinan diri mereka di hadapan khalayak.
Lebih 30 kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang mengambil bahagian, sekali gus menjadikan festival ini sebagai platform perpaduan masyarakat setempat untuk berkumpul, berkongsi keceriaan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua yang terlibat dalam memastikan kejayaan program berkenaan.
“Terima kasih diucapkan kepada semua pihak, termasuk peserta, penganjur dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan sambutan Festival Kuih Bulan Asajaya pada tahun ini.
“Kehadiran dan kerjasama semua menjadikan acara ini penuh makna dan menjadi kenangan indah buat masyarakat setempat,” katanya. -EDISI UKAS