DARO: Tadabbur Al-Quran bukan sahaja menyemai kefahaman yang lebih mendalam terhadap nilai-nilai suci, malah menjadi wahana pengukuhan rohani dan penyatuan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.
Majlis Bicara Tadabbur anjuran Majlis Islam Sarawak dengan kerjasama Darul Hana Quranic Centre ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjadikan Al-Quran sebagai pedoman utama dalam kehidupan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD), Safiee Ahmad berkata, program sebegini turut menjadi wadah ilmu, bahkan mengukuhkan semangat kecintaan terhadap Al-Quran selaras dengan usaha memperkasa pembangunan rohani umat Islam di kawasan Daro khususnya dan Sarawak amnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian program berkenaan, di sini, pada Ahad.
Majlis ilmu ini menampilkan barisan panel jemputan berwibawa iaitu Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim, dan Pengurus Dakwah Hikmah Sarawak, Ustaz Sarbini Dahlan.
Sebagai pembuka tirai para hadirin diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari Antarabangsa, Dato Ismawi Duet, yang terkenal dengan kelunakan suara serta bacaan penuh penghayatan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana, Ustaz Mohamad Shalahudin Marzuki, dan Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah, Ustaz Muhammad Adib Saini.-EDISI UKAS