Dato Sri Julaihi Tinjau RTC Sampat, Pastikan Kemudahan Awam Terus Berkualiti
SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah mengadakan lawatan persendirian ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sampat bagi meninjau keadaan kemudahan yang disediakan serta melihat sendiri perkembangan kawasan tersebut.
Lawatan ringkas itu memberi peluang kepada beliau meneliti aspek penyelenggaraan, kebersihan dan kemudahan yang terdapat di RTC Sampat yang menjadi salah satu lokasi tumpuan penduduk setempat serta pengguna jalan raya.
Dalam lawatan berkenaan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut beramah mesra dengan penduduk dan pengunjung yang berada di kawasan tersebut bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai kemudahan sedia ada serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan.
Menurut beliau, kemudahan awam yang berkualiti memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselesaan pengguna di samping menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau menegaskan bahawa usaha mengekalkan tahap penyelenggaraan dan kebersihan yang baik perlu diteruskan agar RTC Sampat kekal berfungsi sebagai pusat kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
Lawatan tersebut turut mencerminkan komitmen beliau dalam memastikan kemudahan yang disediakan kerajaan terus berada dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan rakyat. -EDISI UKAS