PITSA Muara Tuang Terima Dana RM20,000, Perkukuh Program Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Muara Tuang dalam usaha membantu persatuan itu memperkasakan program pembangunan ibu tunggal.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, geran berkenaan disalurkan bagi membantu PITSA Cawangan Muara Tuang melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan ibu tunggal serta masyarakat setempat.
“Geran RM20,000 ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk menjayakan program-program yang dirancang dan memperkukuh peranan persatuan dalam membantu ahli serta komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Komuniti Progresif (JEPRO) Siri 1 Tahun 2026 di Dewan Kampung Sindang, di sini pada Rabu.
Beliau turut menggesa ahli persatuan agar terus tabah dan cekal menghadapi cabaran kehidupan serta menjadikan tokoh-tokoh wanita unggul dalam sejarah Islam sebagai sumber inspirasi.
Sementara itu, Pengerusi PITSA Cawangan Muara Tuang, Samsiah Abdul Rahman berkata program berkenaan berjaya menghimpunkan komuniti melalui pelbagai aktiviti pembangunan diri, keusahawanan, kesihatan dan rekreasi.
Menurutnya, antara pengisian yang diadakan termasuk bengkel lesen perniagaan digital, aktiviti kecergasan, pertandingan karaoke, sukan rakyat, pertandingan mewarna kanak-kanak, senamrobik serta pertandingan e-sukan Mobile Legends. -EDISI UKAS