Semangat Muhibah Terus Mekar Di Majlis Rumah Terbuka Gawai ADUN Opar
LUNDU: Semangat muhibah terus mekar apabila lebih 1,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di kediamannya di Kampung Sebako 2, pada Rabu.
Majlis yang berlangsung sejak tengah hari itu menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus mencerminkan semangat muhibah yang menjadi identiti rakyat Sarawak.
Hadir menyerikan majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, ADUN Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai juadah tradisional Hari Gawai yang disediakan kepada para tetamu, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana yang harmoni.
Penganjuran rumah terbuka tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang sentiasa menekankan kepentingan perpaduan, persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum sebagai asas kepada kestabilan dan pembangunan negeri.
Selain menjadi medan meraikan perayaan, program seumpama itu turut memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui interaksi secara langsung dalam suasana yang santai dan mesra. -EDISI UKAS