Ngabang Gawai Perkukuh Perpaduan & Semangat Kebersamaan Masyarakat
TUBAU: Sambutan Hari Gawai Dayak terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim, semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat menerusi penganjuran Program Ngabang Hari Gawai Dayak 2026 di beberapa rumah panjang sekitar kawasan Murum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, sambutan Hari Gawai bukan sahaja perayaan penting bagi masyarakat Dayak, malah menjadi wadah terbaik untuk memupuk persefahaman, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh semangat muafakat dalam komuniti.
“Semoga ikatan persaudaraan, keharmonian dan keakraban yang terjalin dalam kalangan masyarakat di Murum akan terus berkekalan dan semakin kukuh demi kesejahteraan bersama,” katanya semasa Program Ngabang Hari Gawai Dayak 2026 di sini pada Selasa.
Kunjungan tersebut melibatkan beberapa rumah panjang di kawasan berkenaan antaranya Rh. Lichong, Rh. Ballrully, Rh. Ticho, Rh. Ambak dan Rh. Rata.
Dalam pada itu, Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk rumah panjang yang menerima kunjungan rombongan dengan penuh kemesraan serta layanan yang amat baik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli rombongan yang bersama-sama menjayakan program tersebut sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Murum. -EDISI UKAS