KICF 2025 Kukuhkan Imej Kuching Sebagai ‘City of Cats’
KUCHING: Bandaraya Kuching terus memperkukuh imej sebagai ‘City of Cats’ apabila penganjuran Kuching International Cat Festival (KICF) 2025 berjaya menarik ribuan pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung bermula 26 hingga 28 September 2025 di Tebingan Sungai Kuching.
Menurut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), festival tersebut menjadi platform penting dalam mempromosikan Kuching sebagai destinasi pelancongan unik Asia Tenggara, selain merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyertaan peniaga, pengusaha industri haiwan peliharaan serta penggiat seni dan budaya.
“Penganjuran KICF 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam mempromosikan Kuching sebagai destinasi pelancongan ikonik dan unik di Asia Tenggara.
“Festival ini juga menjadi platform penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyertaan peniaga, pengusaha industri haiwan peliharaan serta penggiat seni dan budaya,” kata DBKU dalam kenyataan pada Ahad.
Majlis penutupan rasmi festival berkenaan disempurnakan oleh Penaung Kelab Kucing Kiron Malaysia, Dayang Norjihan Abang Abdul Rahman Zohari.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Festival tahun ini turut menyaksikan pelantikan seekor kucing baka Maine Coon, Mr Kiron, sebagai Duta Kucing Bandaraya Kuching Utara selepas mencatat kejayaan cemerlang mengekalkan gelaran juara kebangsaan World Cat Show selama empat tahun berturut-turut (2022–2025).
Sepanjang penganjuran, KICF 2025 menyajikan pelbagai tarikan utama termasuk World Cat Show yang menampilkan 246 ekor kucing pelbagai baka dari Thailand, Filipina, China, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
Selain itu, acara Live Cat Parade yang menampilkan lebih 40 ekor kucing berarak sejauh 600 meter dari Muzium Cina Kuching hingga ke pentas utama festival turut mencuri perhatian ramai.
Turut memeriahkan penganjuran KICF 2025 ialah My Cat Expo, Cat Grooming Demonstration, Cat Dance Competition, Cat Fashion Show serta persembahan buskers yang menghiburkan pengunjung sepanjang program.-EDISI UKAS