Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri Terima Lawatan Amal
MIRI: Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri Permyjaya menerima kunjungan rombongan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin bagi meninjau kemudahan rawatan dialisis serta menyatakan sokongan terhadap usaha kebajikan pusat tersebut.
Lawatan pada Rabu itu turut disertai Mrs. Elegant International World Beauty Pageant.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Lee turut menekankan bahawa pusat dialisis tersebut merupakan organisasi kebajikan dan bukan milik kerajaan.
Katanya, pusat ini bergantung sepenuhnya kepada sokongan masyarakat serta sumbangan syarikat korporat untuk meneruskan perkhidmatan.
Beliau menjelaskan, terdapat dua pusat dialisis utama di Miri dengan cawangan Permyjaya menampung sebahagian besar pesakit berpendapatan rendah sekitar Tudan, Permyjaya dan kawasan berhampiran.
“Pusat lama yang beroperasi sejak 1995 kini sedang dinaik taraf dengan penggantian 30 mesin dialisis baharu melibatkan kos melebihi RM4.5 juta.
"Bagi memastikan rawatan tidak terganggu, sebahagian pesakit telah dipindahkan ke pusat baharu di Permyjaya yang beroperasi tiga syif sehari dari jam 6 pagi hingga 8.30 malam,” jelasnya.
Setakat ini, seramai 320 pesakit aktif mendapat rawatan di bawah jagaan pusat dialisis berkenaan, termasuk dari Bekenu, Limbang dan Marudi, namun masih ramai yang berada dalam senarai menunggu.
Mengakhiri lawatan, Dato Sri Lee menyeru masyarakat, pihak korporat dan kerajaan untuk terus menyokong usaha kebajikan tersebut agar Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri dapat mengekalkan perkhidmatan berkualiti demi kesejahteraan pesakit yang hampir kesemuanya menerima rawatan bersubsidi.-EDISI UKAS