KUCHING: Bahang Borneo Derby antara Kuching City FC (KCFC) dan Sabah FC dalam aksi Liga Super kian memuncak dengan kedua-dua pasukan memburu kedudukan sebagai kuasa bola sepak utama di Borneo.
Stadium Likas bakal menjadi saksi pertembungan panas dua kuasa bola sepak Borneo apabila Sabah FC menerima kunjungan KCFC esok (4 Oktober).
Biarpun prestasi Sabah FC semakin tidak konsisten yang masih belum lagi mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super 2025/2026 namun ia bukan bermakna laluan selesa buat KCFC walaupun beraksi cemerlang dalam kancah liga musim ini dengan tiga kemenangan di tangan mereka.
Statistik sebelum ini menunjukkan KCFC masih belum berjaya menewaskan Sabah FC dalam mana-mana pertembungan biarpun kini mengungguli tangga keempat dalam carta liga setakat ini.
Kali terakhir kedua-dua kelab itu bertembung menyajikan perlawanan yang sengit dengan KCFC tumbang di gelanggang lawan dengan jaringan 2-1 pada 25 Mei tahun lepas.
Dalam sidang media selepas perlawanan menentang Imigresen FC minggu lepas, Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak menegaskan skuad bimbingannya tidak boleh leka dengan rekod semasa tetapi sebaliknya fokus kepada prestasi semasa.
"Itulah sebabnya saya perlu mengingatkan para pemain agar tidak ambil mudah atau terlalu fikirkan masa lalu.
"Apa yang penting adalah sekarang di mana kita perlu bersatu semula untuk berjuang lebih kuat atau bahkan bermain lebih baik daripada perlawanan menentang Imigresen FC," jelasnya
Menggunakan momentum kemenangan terutamanya berjaya membelasah Brunei DPMM FC 7-1 dan Imigresen FC 4-0, beliau mengakui keyakinan pasukan semakin meningkat tetapi menegaskan perjalanan liga masih panjang.
Ujarnya, liga ini perlu dilihat ibarat maraton yang tidak berakhir selepas tiga perlawanan namun perlu ambil perlawanan pada satu masa.
"Perlawanan menentang Sabah ini amat penting dan kami mahu bermain bola sepak yang baik," jelasnya lagi.
Yang penting, pertembungan tersebut bakal menyajikan perlawanan yang sengit dan dijangka mendapat perhatian peminat bola sepak Borneo yang sentiasa menganggap derbi ini sebagai antara aksi paling dinanti dalam Liga Malaysia. -EDISI UKAS